Friday, January 30, 2009

Oh, anak...

Salam kepada semua pelawat…

Hari ini saya didatangi oleh seorang bapa murid untuk bertanya mengenai aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah bagi anaknya yang berada di Tahun 6. Beliau memaklumkan bahawa anaknya tidak menyampaikan surat yang diedar oleh guru kepadanya. Ini memang perkara biasa berlaku di kebanyakan sekolah bila mana anak-anak gagal menyerahkan surat-surat makluman pihak sekolah kepada ibu bapa. Alasan biasa, lupa…Lalu berkepuklah surat itu di dalam beg mereka.

Saya amat kagum dan menyenangi kehadiran bapa tersebut kerana ini menunjukkan keprihatinan beliau tentang pendidikan anaknya. Sikap ingin tahu dan berbincang antara dua pihak dapat membuka mata dan menyelesaikan banyak masalah. Dapat juga mengelakkan daripada tuduh-menuduh dan salah sangka kerana tidak mendapat makluman tepat.

Setiap guru pasti akan berpesan dengan jelas apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak apabila ada maklumat yang hendak disampaikan kepada ibu bapa. Malahan ia akan disertai dengan surat pemberitahuan. Anak-anak walaupun di Tahun 6, besar dan mudah faham, tapi juga mudah lupa. Jika guru perlu maklumbalas atau jawapan keesokan hari, memang takkan dapat segera kerana selalunya mereka akan kata, lupa nak cakap, atau lupa nak serah pada ibu bapa.

Atas sebab itu, sukalah saya berpesan kepada ibu bapa dan diri sendiri supaya sentiasa bertanya anak-anak hal-hal sekolah serta rajin membelek isi dalam beg sekolah anak-anak. Adakah buku-buku berkaitan di dalamnya, adakah di dalam beg itu sebarang benda yang tidak perlu dibawa ke sekolah, adakah surat makluman sekolah, atau adakah anak diberi kerja dan telah menyiapkan kerja. Jika ditanya, jawapan senang dan selamat, takde kerja rumah atau sudah siap. Bagaimana kita hendak memastikan ianya telah siap jika tidak diperiksa…

Jika mampu, bantulah anak-anak menyiapkan kerja rumah walaupun dengan hanya duduk di sebelahnya memerhati apa yang ditulis anak itu. Semoga jalinan kasih yang ditunjukkan ibu atau bapa akan memberi motivasi kepada mereka untuk berusaha dan berjaya sebagai tanda membalas jasa.

1 comment:

  1. Mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa. Guru hanya membantu. Ibu bapa yg pentingkan pendidikan anaknya adalah ibu bapa yang bertanggungjawab....

    ReplyDelete

Assalamualaikum.. Mesyuarat Persediaan 2016! Semoga sentiasa bermotivasi untuk kecemerlangan SKKD 2016