Thursday, February 26, 2009

Memori SKKD

Kedudukan sekolah lama

Bangunan sekolah yang mula-mula dibina terletak di hujung kampung 3 batu ( 9km ) dari Pekan Banting mengikut arah jalan ke Morib. Dari jalan raya , masuk ke dalam lebih kurang lima rantai
( 5m ).

Ringkasan sejarah sekolah lama

Tahun Masehi 1904 adalah satu detik yang bersejarah bagi Kampung Kanchong Darat kerana pada tahun itulah kampung ini telah dibuka. Pada permulaan kampung ini dibuka perkembangan penduduknya tidaklah begitu menggalakkan. 18 tahun kemudian, barulah penduduk kampung ini meningkat bilangannya sehingga lebih 60 keluarga. Memandangkan kepada keadaan ini, orang-orang kampung telah meminta kerajaan mendirikan sebuah sekolah.

Pada tahun 1922, kerajaan telah meluluskan pembinaan sekolah yang dipohon, di atas tanah seluas 4 ekar Lot 547 Geran No. 7490 yang pada asalnya kepunyaan Allahyarham En. Rapon b. Sontono. Tanah ini telah digezetkan pada tahun 1922. Pembinaan bangunan ini telah dibuat oleh seorang tukang kayu berbangsa Cina dari Morib.

Bangunan ini mula-mula dibuat hanya mempunyai 21 tiang untuk 2 bilik sahaja dengan menggunakan tiang batu setinggi 5 kaki, atap nipah dan berdinding bertam sehingga ke atas. Tingkapnya menggunakan kayu sebagai penahan ketika membukanya. Sekolah itu dibuka dengan rasminya pada 4.3.1925 dengan nama Sekolah Melayu Kanchong Darat atau “ Malay School Kanchong Darat”.

Guru Besar yang pertama bertugas di sekolah ini ialah En. Mohd Sudin b. Ibrahim yang datang dari Sekolah Batu 20 Jeram manakala En. Mahat b. Hj Ramli sebagai penolongnya.
Sebelum tahun 1925, kanak-kanak dari Kampung Kanchong Darat terpaksa belajar di Sekolah Melayu Morib. Selepas sekolah ini diwujudkan, kanak-kanak dari kampung ini tidak lagi belajar di Morib.

Sumber : Unit Profil Sekolah

No comments:

Post a Comment